Friday, 10 August 2012

Hak berpendidikan tinggi secara holistik

Suatu yang menarik apabila pada 17 Julai 2012 lalu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di dalam ucapannya menegaskan bahawa majoriti rakyat Malaysia mampu mencapai cita-cita ke menara gading.

Pada majlis 'Impianku Ke Menara Gading' itu juga beliau menjelaskan hak rakyat mendapatkan peluang pendidikan tinggi akan terus diperjuangkan kerajaan bagi memastikan bukan saja rakyat mendapat peluang pendidikan tinggi, malah mampu mendapat peluang pendidikan tinggi berkualiti sebagai jaminan usaha Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi
Penjelasan Khaled mengenai hak berpendidikan itu jelas sekali selari dengan kehendak yang terkandung di dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Perkara 26 deklarasi itu menyatakan setiap individu berhak kepada pelajaran.

Ucapan Khaled bagaimanapun cuba membawa rakyat Malaysia melangkah setapak lagi ke arah bukan saja memberikan peluang pendidikan yang bermutu, namun terus menyediakan peluang pendidikan tinggi holistik kepada generasi muda. Kerajaan menyasarkan lebih 50 peratus rakyat berusia antara 17 hingga 23 tahun mendapat peluang pendidikan tinggi bermutu.