Nilai: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Jabatan Pengajian Politeknik dan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti akan menganjurkan Persidangan Kebangsaan Penyelidikan dan Inovasi Dalam Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional 2012 (CiE- TVET 2012) pada 25 hingga 26 September 2012 di Politeknik Nilai, Negeri Sembilan.
Persidangan kali kedua itu dianjurkan dengan kerjasama Politeknik Nilai, Kolej Komuniti Hulu Langat dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Penganjuran kali ini ialah kesinambungan daripada kejayaan program yang sama di Pulau Pinang pada 2011 bertujuan memberi peluang kepada staf akademik daripada UTHM, Politeknik dan Kolej Komuniti khasnya serta lainlain institusi pengajian tinggi (IPT) awam (IPTA) dan swasta (IPTS) amnya untuk menghasilkan penulisan penyelidikan dan ilmiah serta membentangkan kertas keija pada peringkat kebangsaan.
Tema persidangan kali ini ialah 'Gerak Penyelidikan dan Inovasi Ke Arah Memperkasakan Teknikal dan Pendidikan Vokasional dan Latihan (TVET)'. Tema dipilih selaras dengan hasrat KPT untuk memperkasakan TVET secara menyeluruh. Penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan dapat dikongsi bersama melalui platform pembentangan, perbincangan dan penulisan ilmiah demi melahirkan warga pendidik yang lebih kreatif, inovatif, kompeten dan cemerlang.
Seramai 234 orang pembentang akan membentangkan kertas kerja yang meliputi pelbagai skop kajian antaranya ialah Pembangiman Kurikulum, Pentaksiran dan Penilaian, Inovasi dan Teknologi dalam P&P, Kebolehpasaran, Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat dan pelbagai skop kajian lagi yang menjurus kepada memperkasakan serta mengarusperdanakan sistem pendidikan teknik dan vokasional negara.
Sumber: Berita Harian, M/S: 4
Tarikh: Khamis, 20 September 2012