Seramai 730,185 pelajar sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang menerusi program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang diperkenal Kementerian Pengajian Tinggi pada 2009.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Ab Rahim Md Noor (gambar), berkata daripada jumlah itu, seramai 223,352 mendaftar pada 2009, diikuti 231,794 pada 2010 dan 275,039 tahun lalu.
Katanya, pusat pengajian meliputi 15 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta pusat kemahiran di seluruh negara yang menawarkan pelbagai program akademik dan teknikal.
Beliau berkata, PSH membuka akses pendidikan tinggi kepada rakyat tanpa kekangan usia dan status sosial yang membantu membentuk masyarakat berilmu dan berkemahiran tinggi.