Wednesday, 21 November 2012

MyRA tingkatkan budaya penyelidikan di IPT


Kementerian Pengajian Tinggi mencipta Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA) bagi membolehkan hasil penilaian kendiri instrumen itu digunakan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memantau prestasi dan menilai pencapaian masing-masing dalam aspek penyelidikan secara tahunan.

Hasil penilaian MyRA juga menjadi prasyarat kepada IPT swasta (IPTS) bertaraf universiti dan kolej universiti untuk memohon Skim Geran Penyelidikan Fundamental selain dijadikan sebahagian sokongan permohonan IPT untuk diiktiraf sebagai universiti penyelidikan (RU).

Ikuti analisis keputusan penilaian MyRA tahun lalu yang diumumkan baru-baru irti oleh Ketua Panel Penilai MyRA, Prof Dr Muhamad Jantan seperti disampaikan kepada wartawan Varsiti. Rosniza Mohd Taha.

S: Tahun ini kali ke berapa penilaian MyRA dilaksanakan? Bagaimana sambutan institusi pengajian tinggi (IPT) terhadap instrumen penilaian ini? 


J: MyRA dilaksanakan sejak 2006, tetapi tidak secara besar-besaran yang membabitkan banyak IPT. Hasilnya tidak dihebahkan kerana penilaian hanya dijalankan terhadap IPT yang memohon untuk dinilaikan bagi tujuan pengiktirafan sebagai RU.

Pada mulanya ia terhad kepada IPT kerajaan saja dan penyertaan dalam penilaian MyRA adalah kepada IPT yang memohon untuk dinilai. Hal ini demikian kerana kami berpendapat bahawa IPT, khususnya yang baru, perlu memahami instrumen MyRA dan hasratnya serta memahami tempoh masa yang diperlukan untuk mewujudkan budaya penyelidikan.

Namun, sejak pengumuman hasil Sistem Penarafan Institusi Pengajian tinggi (SETARA) 2009 pada 2010, dirasakan sudah tiba masanya bagi fungsi penyelidikan bagi IPT juga diberikan tekanan, dan melebarkan penyertaan kepada semua IPT merangkumi kerajaan dan swasta. Sambutan kepada instrumen MyRA menggalakkan dengan lebih banyak IPT menyertainya. Untuk penilaian hasil penyelidikan tahun lalu, sebanyak 20 IPT awam (IPTA) dan 12 IPTS mengambil bahagian. 

S: Apa pendapat Prof mengenai hasil keseluruhan penilaian MyRA tahun ini berbanding sebelumnya? 

J: Secara amnya, hasil keseluruhan penilaian MyRA tahun lalu memberangsangkan dengan IPT yang sebelum ini mendapat skor yang rendah menunjukkan peningkatan, khususnya dalam kalangan IPT baru termasuk IPTS. Empat RU iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia mengekalkan prestasi cemerlang pada tahap enam bintang.

Sementara itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia serta Universiti Teknologi Petronas berada pada tahap lima bintang.

Tidak ketinggalan beberapa universiti swasta yang agak cemerlang pada tahap tiga bintang termasuk Universiti Multimedia, Monash University Sunway Campus dan University of Nottingham Malaysia Campus bersama Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Utara Malaysia. 

S: Adakah hasil keputusan yang menunjukkan perkembangan berbeza berbanding sebelum ini? 

J: Perlu diingat bahawa pendekatan MyRA ialah pemeringkatan bukan penarafan yang mana kita menilai pencapaian IPT pada indikator penyelidikan berbanding tanda aras tertentu yang ditetapkan. Bagi IPTS tiada data sebelum ini yang membolehkan kita melihat perkembangan pencapaian. Namun, IPTA jelas menunjukkan peningkatan pencapaian apabila budaya penyelidikan beransur mantap. 

S: Mengapa tiada IPT layak mencapai pengiktirafan empat bintang? 

J: Untuk mencapai pencapaian yang baik dalam MyRA, budaya penyelidikan mesti mantap dengan disokong sumber mencukupi. Tiada IPT mencapai tahap empat bintang menunjukkan jurang antara IPT dalam aspek fokus penyelidikan. Ini berpunca daripada perbezaan budaya penyelidikan dan sumber sokongan penyelidikan yang secara tidak langsung berkaitan faktor usia penubuhan IPT. 

S: Daripada lapan kriteria utama dinilai, secara keseluruhan, apakah aspek kekuatan kebanyakan IPT dan apakah pula aspek yang meryadi kelemahan bagi kebanyakan universiti? 

J: Penilaian MyRA berasaskan lapan kriteria iaitu kuantiti dan kualiti penyelidik, kuantiti dan kualiti penyelidikan, kuantiti dan kualiti pascasiswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah, jaringan dan jangkauan serta kemudahan sokongan.

Seksyen C merujuk kepada kuantiti dan kualiti penyelidikan yang membezakan pencapaian IPT. Amnya kita masih kekurangan dalam aspek kualiti penyelidikan. Aspek kemudahan sokongan, jaringan dan jangkauan IPT kita tidak bermasalah.

Bagi IPT baru, kriteria B yang merujuk kepada kualiti dan kuantiti penyelidik mungkin bermasalah juga - khususnya untuk mendapatkan tenaga penyelidik yang berpengalaman dan berkelayakan bersesuaian. 

S: Apakah nasihat Prof kepada IPT bagi persediaan meryalani MyRA akan datang? 

J: Untuk mendapat pencapaian MyRA yang cemerlang memerlukan tumpuan kepada dua perkara penting. Pertama, kandungan yang dipinta daripada MyRA, iaitu hasil penyelidikan berkualiti yang diterjemahkan kepada penerbitan bermutu, produk yang boleh dipaten dan dikomersialkan serta graduan ijazah doktor falsafah mesti diperkasa kuantiti dan kualitinya.

Melihat kepada taburan pemarkahan dan indikator - Bahagian B hingga D iaitu kuantiti dan kualiti penyelidik, kuantiti dan kualiti penyelidikan serta kuantiti pelajar pascasiswazah menjadi penyumbang utama kepada pencapaian keseluruhan merangkumi 65 peratus. Berikutan sumber, masa dan tenaga terhad, IPT harus memilih bidang tujahan tertentu mengikut kemampuan sedia ada sebagai pemangkin kepada budaya penyelidikan.

Kedua, dokumentasi teratur mengenai pencapaian dalam setiap daripada lapan bahagian instrumen mestilah diwujudkan. MyRA menggunakan sistem data yang diguna pakai untuk penilaian, justeru hanya data yang boleh dibuktikan kesahihannya melalui bukti dokumen. Sistem pengumpulan data prestasi institusi mestilah mantap. Kerap kali apabila diaudit, kemungkinan besar pencapaian yang lebih tinggi tidak dapat diberikan kerana ketiadaan bahan bukti yang bersesuaian. Banyak IPT baru tidak mempunyai sistem pengumpulan data dan bahan bukti yang mantap untuk tujuan ini.

Sumber: Berita Harian, M/S: 14
Tarikh: Khamis, 22 November 2012

No comments:

Post a Comment