Saturday, 17 November 2012

UKM bangunkan inovasi P&P


S: Sejauh mana ke pentingan inovasi P&P di institusi pengajian tinggi (IPT). 

J: Pelaksanaan proses P&P mestilah menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan tahap keupayaan kognitif setiap pelajar, tahap pembelajaran, dan juga berbantukan alat bantu pengajaran yang terbaik. Di UKM, proses bagi penambahbaikan kualiti pengajaran dan pembelajaran turut diberi peranan khusus dalam perancangan strategik universiti dan antara objektif yang digariskan ialah menghasilkan graduan yang cemerlang melalui program akademik kompetitif dalam pelbagai bidang pengajian. Pemerkasaan program akademik, prasarana, pengambilan pelajar berkualiti dan warga kerja yang kompeten melayakkan sesebuah universiti terus mencapai kecemerlangan.


Sistem pengajian tinggi yang sentiasa berubah dan kompetitif menuntut supaya IPT meningkatkan kualiti dengan menambah baik kurikulum supaya sentiasa relevan dan memenuhi kehendak pasaran. Perkembangan pesat dari segijumlah institusi dan pembangunan infrastruktur yang moden perlu diselarikan dengan keperluan peningkatan kualiti pembelajaran agar setanding dengan institusi terkemuka di dunia. Usaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh, membabitkan semua pihak berkepentingan ke arah kecemerlangan pengajian tinggi. IPT yang cemerlang akan melahirkan graduan yang mempunyai keterampilan, berdaya saing dan kebolehan pasaran pada peringkat global. 

S: Perkembangan inovasi P&P dl UKM. 

J: Di UKM, pembangunan berterusan proses P&P dilaksanakan secara berterusan menerusi Pusat Pengembangan Akademik yang diwujudkan dengan tiga fungsi utama iaitu sebagai pusat pengembangan dan inovasi kurikulum, latihan dan perkembangan akademik serta e-pembelajaran. Usaha ini selari dengan pelaksanaan Model Baharu Ekonomi (MBE) serta Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menuntut keperluan modal intelektual atau bakat berilmu dan berkemahiran tinggi yang boleh menyumbang secara kritikal kepada pembangunan negara.

Terbaru, UKM berjaya memperoleh dana T-novation bernilai RMl juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi bagi memperkasakan aktiviti penyelidikan dalam bidang P&P. Dana mencakupi skop yangluas merangkumi pelbagai aspck utama P&P termasuk inovasi kurikulum atau kandungan, strategi atau teknik, aktiviti, bahan bantu mengajar, sistem, perisian, pakej dan modul, alatan atau gajet serta inovasi penilaian dan pentaksiran P&P. Kita berharap inisiatif ini mampu menambah baik kualiti P&P dengan memperhebat penciptaan ilmu baru yang berupaya memupuk daya kreativiti dan inovatif serta mampu melahirkan graduan yang mempunyai atribut kebolehpasaran. Dapatan kajian atau penyelidikan akan dikongsi bersama dengan IPT lain demi manfaat bersama selain memangkin usaha meneroka menambah baik kualiti P&P di IPT masing-masing. 

S: Pendekatan P&P yang dilaksanakan universiti setakat ini. J: Kita mengenai pasti bentuk kurikulum yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa dan berusaha membangunkan program yang mampu memberi kelebihan kepada setiap graduan UKM. Antara yang diberi penekanan ialah program keusahawanan berinovasi yang dibangunkan bermatlamat melatih mahasiswa menjadi usahawan berinovasi. Program ini mewajibkan semua mahasiswa tahun pertama mengikuti kursus asas keusahawanan dan inovasi dengan pengisian melatih mahasiswa mengatur strategi dalam menghasil dan memasarkan produk dalam dunia persaingan sengit. Apabila berada pada tahun dua atau tiga pengajian, mahasiswa boleh memilih sama ada ingin meneruskan kursus atau sebaliknya, dan bagi yang berminat, mereka akan didedahkan dengan aktiviti penyelidikan secara berkumpulan di bawah bimbingan pensyarah bagi menghasilkan produk yang berinovatif. Mereka juga diajar mengenai aspek penubuhan syarikat sendiri selain kaedah mendaftar hak cipta produk mereka sekali gus meridedahkan mereka kepada realiti bidang keusahawanan yang sebenar.

Pengisian kursus ini berbeza dengan IPT lain kerana mahasiswa perlu tampil dengan produk inovasi masing-masing yang dijadikan sumber utama bagi rnenjalankan perniagaan. Selain itu, UKM turut memperkenalkan pembelajaran berasaskan pertandingan dalam beberapa kursus terpilih iaitu kursus pengurusan pengangkutan pintar, perancangan bandar lestari dan keusahawan awal tahun ini. Penentuan pemenang dilakukan dengan cara penilaian projek dan undian rakan sekelas dan berdasarkan pemerhatian, kita dapati mahasiswa lebih bermotivasi menghasilkan projek yang berinovatif. Kaedah pembelajaran berasaskan permainan komputer pula diperkenalkan dalam kursus perancangan bandar lestari menggunakan perisian Sim- City, manakala perisian Oak Tree Mogul dalam kursus keusahawanan, awal tahun ini. Perisian ini kita bangun dan ubah suai agar bersesuaian dengan pengisian kursus selain kaedah P&P ini berjaya meningkatkan tahap pembelajaran mahasiswa. Ramai beranggapan permainan komputer dan video hanya digunakan untuk berhibur, sedangkan hakikatnya ia berupaya melatih dan membina kemahiran mahasiswa dengan cara memberi rangsangan seakan-akan dunia sebenar. 

S: Gabaran dihadapi universiti dalam memperkasakan P&P. 

J: Dunia pembelajaran di universiti kini berada dalam era digital apabila penggunaan teknologi dan laman sosial seperti YouTube, Facebook, Twitter, blog, Linkedin cukup meluas kalangan mahasiswa. Oleh itu, usaha perubahan P&P perlu disegerakan bagi menjana kecemerlangan kerana jika kaedah penyampaian pensyarah terus berada pada takuk lama yang berdasarkan syarahan atau hafalan semata-mata, kita pasti ketinggalan. PPA peka kepada perubahan ini dan tampil dengan inisiatif menerbitkan buku Web 2.0 Tools in Education Series: Sharing Tools dan Social Networking Tools: A Quick Guide sebagai panduan kepada pensyarah memanfaatkan penggunaan teknologi dan laman sosial dalam P&P.

Kita tidak mahu wujud jurang generasi ketara antara mahasiswa dan pensyarah kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan keberkesanan proses P&P itu sendiri. Pensyarah juga diingatkan agar tidak terbawa-bawa dengan cara pengajaran lapuk yang hanya akan membantutkan kreativiti mahasiswa yang mahukan lebih daripada teori kerana ia dianggap perkara yang mengganggu perkembangan  serta daya pemikiran kerana tidak memberi peluang kepada perbincangan mahupun mengambil kira pandangan mahasiswa mengenai sesuatu isu. Kita mahu pendekatan P&P yang diberikan pensyarah mestilah bertepatan dengan cita rasa mahasiswa supaya mereka dapat belajar dengan seronok serta penuh minat. Namun kita tidak menolak timbul konflik dalam kalangan pensyarah khususnya pensyarah lama yang sukar menerima perubahan dilakukan universiti selain masih beranggapan kaedah P&P lama yang diamalkan sebelum ini tetap relevan. Mereka berdepan kesukaran dalam memanfaatkan penggunaan teknologi namun kita berusaha mengatasinya secara berperingkat. 

S: Apakah usaha dilaksanakan bagi memantapkan kemahiran pensyarah dalam P&P? 

J: Peranan dan tanggungjawab pensyarah sebagai pendidik adalah kompleks dan ini menuntut pensyarah memiliki keupayaan atau kecekapan bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai. Oleh itu, konscp pembangunan staf yang dirancang menuntut pensyarah mempelajari dan menguasai kemahiran yang pelbagai bagi mencapai hasrat tinggi yang disandarkan masyarakat terutama ibu bapa yang menghantar anak masing-masing ke universiti. UKM menekankan latihan yang bersistematik diberikan kepada pensyarah terutama pensyarah baru dalam pengajaran dan pembelajaran agar fungsi pensyarah dapat dilaksanakan secara efektif.

Setiap tahun, kita memperuntukkan RM900,000 bagi tujuan latihan pensyarah dan mereka perlu mengikuti latihan selama 42 jam dalam tempoh setahun. Pengisian latihan lebih kepada usaha meningkatkan kemahiran P&P, kepimpinan selain kemahiran bersosial. Dengan kapasiti kira-kira 2,000 pensyarah setakat ini, UKM turut memastikan pemantauan prestasi pengajaran dan pembelajaran serta pengiktirafan kepada tenaga akademik didukung melalui komitmen yang jitu daripada semua tenaga akademik.

Sumber: Berita Harian, M/S: 14
Tarikh: Khamis, 15 November 2012

No comments:

Post a Comment